Satu
analisa telah dibuat berserta dengan hujah-hujah yang jelas berdasarkan artikel tersebut:
Nama
penulis : Sabddin
Hussin Alipin, Universiti Malaysia, Sabah
Tajuk
Artikel : Hubungan Gaya Kepimpinan Pengetua dan Stres Dengan
Hasrat
Meninggalkan Profesion Perguruan
Terbitan: -
Muka
surat: 19 muka surat
Sinopsis
Kemajuan sesebuah Negara sangat bergantung
kepada agenda pembangunan dunia pendidikan. Selepas menandatangani penjanjian
sebagai seorang pendidik, jatuh bangunnya sesuatu bangsa terletak di atas
bahunya. Tanggungjawab seorang guru bukan sahaja untuk menyalurkan ilmu tetapi
masyarakat mengharapkan sumbangan yang lebih daripada guru.Seorang guru yang
komited mendidik dan merubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan yang
tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira untuk menjadi
seorang manusia yang berjaya. Tanpa guru, kemajuan yang ingin dicapai akan
terencat. Guru diletakkan di barisan hadapan untuk mencapai kemajuan Negara
yang lebih pesat.
Seorang guru yang hebat adalah
mereka yang mempunyai jati diri yang tinggi, berintegriti, menguasai ilmu,
cekap, kreatif, dedikasi, tekun dan mempunyai kecekapan yang tinggi dalam
pedagogi serta mempunyai sikap untuk terus menjana kecemerlangan. Keupayaan
guru untuk menyalurkan ilmu yang diterjemahkan dalam bentuk penampilan, sikap
dan nilai diri tinggi akan mempercepatkan proses penghayatan dalam pengajaran
dan pembelajaran. Seorang guru yang hebat akan dapat memajukan dunia pendidikan
dan mengangkat profesion perguruan pada tahap yang sepatutnya.
Tanggungjawab dan kepercayaan yang
diberikan kepada golongan guru melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(2006-2010) dapat memartabatkan profesion perguruan. Menerusi pelan ini, ia
bertujuan untuk menghasilkan satu sistem pendidikan Negara yang berteraskan
lima ciri aspirasi iaitu akses, kualiti, ekuiti perpaduan dan kecekapan. Ini
kerana dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, Negara
memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan bagi memenuhi
tuntutan dalam membangunkan Negara di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), Program
Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) (Utusan
Malaysia, 2012).
Mendepani cabaran dalam suasana
pembelajaran abad ke-21, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggariskan
beberapa strategi dalam usaha memartabatkan profesion perguruan agar profesion
ini menjadi pilihan utama dalam pasaran kerjaya pada masa akan datang. Antara usaha
yang telah dilakukan untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru melalui
Program Diploma Keguruan Khas, Program Pensiswazahan Guru, Program Berkembar
Institut Aminuddin Baki (IAB) dengan pihak universiti, Skim Latihan Pegawai dalam dan luar Negara,
Program Pensarjanaan Pensyarah Institut Perguruan dan lain-lain.
Tujuan
/ Persoalan
Kajian jurnal ini bertujuan untuk
mengkaji hubungan antara gaya kepimpinan pengetua dan stress dalam kalangan
guru dengan hasrat meninggalkan profesion keguruan. Kajian ini berbentuk kajian
tinjauan dengan menggunakan kaedah kauntitatif. Salah satu sebab timbul masalah
dalam pentadbiran sekolah ialah apabila pemimpin sekolah kurang mengambil kira
kecenderungan atau ketidakpuasan dalam kalangan guru. Di peringkat sekolah,
pengetua atau guru besar adalah pemimpin, pengurus dan pentadbir yang akan
melaksanakan pelbagai fungsi dan seharusnya golongan ini mempunyai kecekapan
dan kebijaksanaan untuk melaksanakan urusan kepimpinan.
Idea
Utama
Antara punca berlakunya stres dalam
pengurusan di tempat kerja ialah beban kerja. Kemajuan Malaysia dalam bidang
ekonomi berteraskan pengetahuan, sekaligus menuntut seseorang yang bergelar
pendidik berusaha untuk meningkatkan tahap pengetahuan khususnya dalam bidang
pendidikan. Guru dituntut mengubah pandangan mereka terhadap persekitaran sedia
ada. Perubahan yang berlaku dalam pendidikan Negara seperti pelaksanaan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM), pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI), pembelajaran sepanjang hayat, cadangan mewajibkan lulus subjek Bahasa
Inggeris, dasar memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI) dan pelaksanaan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah menambahkan lagi tanggungjawab
serta beban tugas guru-guru di sekolah. Beban tugas yang pelbagai dan
ketidakcekapan mengurus masa yang singkat cukup menjelaskan perubahan fikiran
para guru terhadap masa depan mereka
dalam profesion perguruan. Persepsi masyarakat hari ini masih melihat
kerja guru sebagai mudah, masa bekerja yang pendek dan banyak cuti sangat
menyimpang daripada realiti yang sebenarnya.
Kekuatan
kandungan
Dalam jurnal ini saya melihat kekuatan
kajian yang dijalankan kerana mengemukakan pelbagai teori yang memberi
penekanan kepada gaya kepimpinan Situasional dan Kontingensi. Berdasarkkan
kajian ini, kajian kepimpinan dari segi gelagat yang dipaparkan oleh pemimpin
telah berjaya mengenal pasti perhubungan yang konsisten di antara gaya gelagat
kepimpinan dan prestasi kumpulan. Sebagai contoh, perbandingan pengetua di
kawasan bandar dengan pengetua di kawasan pendalaman yang dapat menunjukkan
kepimpinan berkesan tetapi gaya kepimpinan yang berbeza. Ini kerana situasi
berubah dan gaya kepimpinan pasti berubah mengikut keadaan.
Pemboleh ubah stres meliputi perbincangan
yang sangat luas dan wujud dalam pelbagai konteks dan situasi di pelbagai
peringkat. Pelbagai teori dan model
yang dikaitkan dengan stres. Namun dalam konteks kajian ini, pengkaji telah
mengecilkan skop kajian dngan menjurus kepada stres yang dihadapi oleh
guru-guru sekolah menengah berdasarkan populasi yang dipilih. Oleh itu stres
yang dibincangkan adalah merujuk kepada faktor bebanan kerja, kekangan masa,
karenah pelajar, penghargaan dan sokongan
dan kekurangan sumber.
Selain itu, pengkaji dalam kajian
ini banyak merujuk kepada pakar-pakar yang memberi input dan pendapat tentang
stres dalam kalangan pendidik. Sebagai contoh, menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta
Shaharom (2002), stres atau tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan
manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari. Ia berubah wajah mengikut peredaran
masa. Stres biasa dialami oleh semua manusia apabila berada dalam keadaan yang
tidak menyeronokkan. Menurut Seaward pula (2006), dapatan kajian terbaru secara
keseluruhannya menunjukkan bahawa 70 peratus hingga 80 peratus penyakit yang
dialami oleh manusia kini adalah kesan daripada stres. Robins(2000) pula
berpendapat stres atau tekanan boleh dilihat melalui pelbagai cara dan boleh
dibahagikan kepada tiga jenis kategori iaitu fisiologi, psikologi dan gelagat. Pihak
pengurusan mungkin tidak pedulikan stres tahap rendah dan sederhana kerana
stres peringkat ini memberikan motivasi dalam diri untuk meningkatkan mutu
kerja. Akan tetapi stres yang terlalu tinggi atau rendah dalam jangka masa yang
panjang boleh melunturkan semangat untuk terus bekerja,seterusnya prestasi
kerja akan menurun.
Seterusnya, kekuatan lain ialah kajian yang dijalankan adalah berbentuk
kuanitatif. Setiap perkara yang dibuat kajian atau responden yang dipilih
dimasukkan ke dalam data. Contohnya, dinyatakan kajian yang telah dijalankan
oleh Woo Sew Fun (2008) tentang faktor-faktor yang mendorong tekanan kerja
(stres) dalam kalangan guru-guru SJK (Cina), melibatkan 50 orang responden di
tiga buah sekolah di Wilayah Persekutuan dengan menggunakan soal selidik untuk
mendapatkan data. Hasil daripada kajian mendapati tahap tekanan atau stres yang
dialami oleh guru-guru dari ketiga-tiga buah sekolah yang dipilih berada pada
tahap tekanan sederhana iaitu pada min skor 2.348. Oleh itu, dalam kajian ini
menunjukkan bahawa faktor utama yang menyebabkan stres ialah faktor kekangan
masa berbanding faktor lain. Ini adalah
disebabkan oleh golongan pendidik terikat dengan profesion mereka di samping
dalam masa yang sama juga dibebani oleh tugas-tugas sampingan lain yang
akhirnya menyebabkan stres kepada guru-guru.
Kekuatan lain ialah kajian ini
menggunakan kaedah soal selidik sebagai instrumen kajian. Mohd Majid Konting
(1998), menyatakan soal selidik sesuai digunakan untuk mendapatkan fakta,
kepercayaan, perasaan dan kehendak. Selain itu, kaedah soal selidik lebih
praktikal untuk populasi yang besar. Kajian korelasi mengkaji perkaitan antara
pemboleh ubah yang wujud dalam sesuatu masalah. Kajian ini ingin melihat hubungan
antara pemboleh ubah-pemboleh ubah seterusnya memberi peluang pengkaji untuk
membuat ramalan skor dan menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah.
Dalam
menentukan saiz sampel kajian ini, pengkaji telah merujuk kepada jadual
penentuan saiz sampel yang telah disediakan oleh Krejcie dan Morgan (1970).
Namun demikian, untuk meningkatkan tahap kenyakinan dan untuk mengurangkan
ralat kepada hasil dapatan kajian, maka saiz sampel yang lebih besar digunakan.
Dalam kajian ini, kaedah persampelan yang digunakan ialah persampelan rawak
berstrata dan rawak mudah. Persampelan rawak berstrata membolehkan populasi
kajian dibahagikan kepada sub-populasi yang tidak bertindih dari segi ciri-ciri
demografi yang dikehendaki. Kemudian, pengkaji akan memilih responden dengn menggunkan
persampelan rawak mudah dari setiap sub-populasi. Oleh itu rasionalnya pengkaji
menggunakan kedua-dua teknik persampelan ini adalah untuk mendapatkan jumlah
responden berdasarkan demografi jantina yang lebih seimbang agar dapat
menganalisis perbandingan atau perbezaan dari segi jantina dengan lebih tepat.
Instrumen penyelidikan bagi tujuan kajian
ini ialah menggunakan borang soal selidik. Ia bertujuan untuk mengumpul
seberapa banyak data dan maklumat yang diperlukan. Borang soal selidik ini dibahagikan
kepada empat bahagian, iaitu Bahagian A berkaitan dengan demografi, Bahagian B
untuk mengukur gaya kepimpinan pengetua, Bahagian C untuk melihat stres dalam kalangan
guru dan Bahagian D untuk mendapatkan maklumat tentang hasrat meninggalkan
profesion perguruan. Data yang diperolehi melalui soal selidik telah dianalisis
dengan menggunakaan perisian komputer Statistical Package for The Social
Science (SPSS) versi 2.0 untuk mendapatkan kesahan dan kebolehpercayaan
instrumen kajian.
Kelemahan
kandungan
Kajian yang dijalankan ini mempunyai
limitasi tertentu. Dapatan kajian ini hanya boleh digeneralisasikan kepada
semua sekolah menengah di daerah Pitas, Sabah khususnya dari aspek gaya kepimpinan
pengetua dan faktor stres dalam kalangan guru-guru. Berasaskan kepada kajian
ini, beberapa cadangan lain berkaitan hasrat meninggalkan profesion ini boleh
dipertimbangkan bagi meluaskan lagi skop gaya kepimpinan pengetua dan stres
guru atau faktor-faktor lain yang bersesuaian. Selain itu, kajian berkaitan
tajuk ini hanya dijalankan di sekolah-sekolah menengah dalam daerah Pitas,
Sabah. Oleh itu, kajian ini masih boleh dikembangkan dengan meluaskan sampel kajian sehingga ke peringkat negeri atau
peringkat kebangsaan.
Kajian lanjut juga boleh ditumpukan
kepada komponen-komponen lain yang terdapat dalam gaya kepimpinan pengetua dan
faktor stres guru untuk melihat hubungan dengan hasrat meninggalkan profesion
perguruan. Kemungkinan juga pengkaji boleh melihat dari sudut gaya kepimpinan
yang lain seperti autokratik, transformasi dan sebagainya. Begitu juga dengan
masalah stres. Mungkin terdapat lagi faktor-faktor stres lain yang difikirkan
sesuai untuk dikaitkan dengan hasrat meninggalkan profesion perguruan seperti
peluang kerja, sikap kendiri, hubungan dengan ibu bapa dan sebagainya.
Dapatan ini hanya melibatkan gaya
kepimpinan pengetua dan stres guru. Namun dapatan kajian menunjukkan hubungan
kedua-dua pemboleh ubah ini adalah hubungan positif yang lemah dengan hasrat
meninggalkan profesion perguruan.Oleh itu, berkemungkinan terdapat lagi
faktor-faktor lain yang lebih dominan dan dapat dikaitkan dengan kajian ini.
Kaedah kajian ini berupa deskriptif
dan korelasi yang bertujuan untuk melihat hubungan gaya kepimpinan pengetua dan
stres guru dengan hasrat meninggalkan profesion perguruan tanpa melihat
sebarang intervensi. Oleh itu, dapatan kajian ini tidak melibatkan proses sebab
dan akibat serta pengaruh. Manakala, instrumen yang digunakan untuk mendapatkan
maklumat ialah melalui borang soal selidik sahaja. Oleh itu, dicadangkan untuk
kajian pada masa akan datang, kaedah-kaedah lain seperti temu bual,
pemerhatian, kajian kes dan sebagainya digunakan untuk mendapatkan hasil kajian
yang lebih berkesan.
Refleksi
Tugasan pada kali ini melibatkan
penulisan ilmiah iaitu saya harus membicarakan tentang kedudukan kerjaya
seorang guru pada masa kini. Tugasan ini agak mencabar minda saya kerana saya
perlu mengupas kerjaya saya sendiri tetapi dari sudut pandangan masyarakat
kini. Pelbagai persoalan telah timbul dewasa ini lantaran tercetusnya pelbagai
isu tentang tentang moral guru itu sendiri sehinggakan pada pandangan masyarakat
bahawa kerjaya sebagai seorang guru bukanlah suatu kerjaya yang professional
berbanding dengan kerjaya-kerjaya lain seperti doktor, peguam arkitek dan
sebagainya. Situasi seperti ini boleh diibaratkan seperti kerana nila setitik
rosak susu sebelanga. Walau hanya segelintir guru yang membuat masalah,
guru-guru yang lain turut terpalit.
Di Malaysia, guru atau pendidik
merupakan penjawat awam yang terpenting dalam bidang pendidikan. Perkhidmatan
seseorang guru amat penting bagi merealisasikan aspirasi Negara. Guru memiliki
ciri-ciri istimewa sama ada terbina secara semula jadi atau dilatih. Saya
merasakan bahawa cabaran abad ke dua puluh satu ini memerlukan saya dan
rakan-rakan lain warga pendidik perlu melengkapkan diri dengan cabaran baru
yang sedang dihadapi oleh murid-murid yang amat rencam dan kompleks.
Untuk menyiapkan tugasan ini, saya
mengkaji tentang Pelan Pembangunan Pendidikan yang telah dilancarkan oleh
Perdana Menteri baru-baru ini. Pelan ini sangat berguna dan bersifat menyeluruh
untuk memberi kebaikan kepada golongan murid, ibu bapa dan guru. Setiap elemen
yang terkandung di dalamnya mempunyai perkaitan dan saling melengkapi. Kita
sebagai warga guru harus mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap isi
kandungannya.
Bagi saya sebagai guru, kita perlu
mempunyai niat dalam melaksanakan tugas kita. Walaupun mungkin kita tidak
dianugerahkan dengan Anugerah Cemerlang yang diberikan setiap tahun, tetapi apa
yang menjadi kepuasan dalam diri apabila anak murid kita dapat menguasai
kemahiran yang sepatutnya mereka capai dari tahun ke tahun. Tugasan ini
memberikan lebih motivasi dalam diri saya tentang keperluan saya untuk menjadi
seorang pendidik. Kita sebagai guru
perlu menjadi cemerlang dalam diri kita. Kita perlu menampilkan watak
terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul
sepanjang masa.
Selain itu, saya perlu mempunyai
tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kerjaya saya ini. Mempunyai pengetahuan
yang mendalam terhadap bidang pengkhususan saya, komitmen yang menyeluruh serta
penambahbaikkan ilmu serta kemahiran secara berterusan menjadi salah satu sebab
untuk saya menyambung pengajian ini ke peringkat ijazah ini. Saya juga perlu
lebih memiliki ketrampilan diri sebagai pendidik sempurna dengan memiliki
pelbagai ilmu sama ada yang tradisional dan moden, kefahaman yang tinggi, jelas
dan mantap tentang dasar dan aspirasi Negara.
Di samping itu, saya juga perlu
mempunyai sahsiah diri yang tinggi dan beretika cemerlang. Apa yang paling
penting sekarang ini, saya perlu bergerak pantas sepantas perkembangan zaman
sains dan teknologi, zaman komputer, zaman teknologi maklumat, zaman langit
terbuka dan sebagainya. Namun begitu, saya merasakan aspek asas yang terpenting
ialah sebagai guru ialah saya perlu memiliki memahami, menghayati dan
mengamalkan nilai, norma dan etika perkhidmatan yang cemerlang untuk menjamin
organisasi sekolah dan Negara mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dan Wawasan 2020.
Kalau bukan kita sebagai warga
pendidik yang perlu meningkatkan mutu perkhidmatan kita untuk menjadikan
kerjaya kita ini dipandang atau diangkat menjadi salah satu kerjaya yang
professional siapa lagi. Tepuk dada tanya hati. Sekian.