Thursday, 10 September 2015

ARTIKEL : HUBUNGAN GAYA KEPIMPINAN PENGETUA DAN STRES DENGAN HASRAT MENINGGALKAN PROFESION PERGURUAN

Satu analisa telah dibuat berserta dengan hujah-hujah yang jelas berdasarkan artikel tersebut:

Nama penulis  :           Sabddin Hussin Alipin, Universiti Malaysia, Sabah
Tajuk Artikel   :           Hubungan Gaya Kepimpinan Pengetua dan Stres Dengan      
                                    Hasrat Meninggalkan Profesion Perguruan
Terbitan:          -
Muka surat:                 19 muka surat

Sinopsis

Kemajuan sesebuah Negara sangat bergantung kepada agenda pembangunan dunia pendidikan. Selepas menandatangani penjanjian sebagai seorang pendidik, jatuh bangunnya sesuatu bangsa terletak di atas bahunya. Tanggungjawab seorang guru bukan sahaja untuk menyalurkan ilmu tetapi masyarakat mengharapkan sumbangan yang lebih daripada guru.Seorang guru yang komited mendidik dan merubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan yang tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira untuk menjadi seorang manusia yang berjaya. Tanpa guru, kemajuan yang ingin dicapai akan terencat. Guru diletakkan di barisan hadapan untuk mencapai kemajuan Negara yang lebih pesat.

Seorang guru yang hebat adalah mereka yang mempunyai jati diri yang tinggi, berintegriti, menguasai ilmu, cekap, kreatif, dedikasi, tekun dan mempunyai kecekapan yang tinggi dalam pedagogi serta mempunyai sikap untuk terus menjana kecemerlangan. Keupayaan guru untuk menyalurkan ilmu yang diterjemahkan dalam bentuk penampilan, sikap dan nilai diri tinggi akan mempercepatkan proses penghayatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Seorang guru yang hebat akan dapat memajukan dunia pendidikan dan mengangkat profesion perguruan pada tahap yang sepatutnya.

Tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan kepada golongan guru melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dapat memartabatkan profesion perguruan. Menerusi pelan ini, ia bertujuan untuk menghasilkan satu sistem pendidikan Negara yang berteraskan lima ciri aspirasi iaitu akses, kualiti, ekuiti perpaduan dan kecekapan. Ini kerana dalam    persekitaran  global yang semakin kompetitif, Negara memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan bagi memenuhi tuntutan dalam membangunkan Negara di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) (Utusan Malaysia, 2012).

Mendepani cabaran dalam suasana pembelajaran abad ke-21, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggariskan beberapa strategi dalam usaha memartabatkan profesion perguruan agar profesion ini menjadi pilihan utama dalam pasaran kerjaya pada masa akan datang. Antara usaha yang telah dilakukan untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru melalui Program Diploma Keguruan Khas, Program Pensiswazahan Guru, Program Berkembar Institut Aminuddin Baki (IAB) dengan pihak universiti,  Skim Latihan Pegawai dalam dan luar Negara, Program Pensarjanaan Pensyarah Institut Perguruan   dan lain-lain.

Tujuan / Persoalan

Kajian jurnal ini bertujuan untuk mengkaji hubungan antara gaya kepimpinan pengetua dan stress dalam kalangan guru dengan hasrat meninggalkan profesion keguruan. Kajian ini berbentuk kajian tinjauan dengan menggunakan kaedah kauntitatif. Salah satu sebab timbul masalah dalam pentadbiran sekolah ialah apabila pemimpin sekolah kurang mengambil kira kecenderungan atau ketidakpuasan dalam kalangan guru. Di peringkat sekolah, pengetua atau guru besar adalah pemimpin, pengurus dan pentadbir yang akan melaksanakan pelbagai fungsi dan seharusnya golongan ini mempunyai kecekapan dan kebijaksanaan untuk melaksanakan urusan kepimpinan.

Idea Utama

Antara punca berlakunya stres dalam pengurusan di tempat kerja ialah beban kerja. Kemajuan Malaysia dalam bidang ekonomi berteraskan pengetahuan, sekaligus menuntut seseorang yang bergelar pendidik berusaha untuk meningkatkan tahap pengetahuan khususnya dalam bidang pendidikan. Guru dituntut mengubah pandangan mereka terhadap persekitaran sedia ada. Perubahan yang berlaku dalam pendidikan Negara seperti pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pembelajaran sepanjang hayat, cadangan mewajibkan lulus subjek Bahasa Inggeris, dasar memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan pelaksanaan Kurikulum   Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah menambahkan lagi tanggungjawab serta beban tugas guru-guru di sekolah. Beban tugas yang pelbagai dan ketidakcekapan mengurus masa yang singkat cukup menjelaskan perubahan fikiran para guru terhadap masa depan mereka   dalam profesion perguruan. Persepsi masyarakat hari ini masih melihat kerja guru sebagai mudah, masa bekerja yang pendek dan banyak cuti sangat menyimpang daripada realiti yang sebenarnya.


Kekuatan kandungan

Dalam jurnal ini saya melihat kekuatan kajian yang dijalankan kerana mengemukakan pelbagai teori yang memberi penekanan kepada gaya kepimpinan Situasional dan Kontingensi. Berdasarkkan kajian ini, kajian kepimpinan dari segi gelagat yang dipaparkan oleh pemimpin telah berjaya mengenal pasti perhubungan yang konsisten di antara gaya gelagat kepimpinan dan prestasi kumpulan. Sebagai contoh, perbandingan pengetua di kawasan bandar dengan pengetua di kawasan pendalaman yang dapat menunjukkan kepimpinan berkesan tetapi gaya kepimpinan yang berbeza. Ini kerana situasi berubah dan gaya kepimpinan pasti berubah mengikut keadaan.

Pemboleh ubah stres meliputi perbincangan yang sangat luas dan wujud dalam pelbagai konteks dan situasi di pelbagai peringkat. Pelbagai teori dan   model yang dikaitkan dengan stres. Namun dalam konteks kajian ini, pengkaji telah mengecilkan skop kajian dngan menjurus kepada stres yang dihadapi oleh guru-guru sekolah menengah berdasarkan populasi yang dipilih. Oleh itu stres yang dibincangkan adalah merujuk kepada faktor bebanan kerja, kekangan masa, karenah pelajar, penghargaan dan sokongan  dan kekurangan sumber.

Selain itu, pengkaji dalam kajian ini banyak merujuk kepada pakar-pakar yang memberi input dan pendapat tentang stres dalam kalangan pendidik. Sebagai contoh, menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom (2002), stres atau tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari. Ia berubah wajah mengikut peredaran masa. Stres biasa dialami oleh semua manusia apabila berada dalam keadaan yang tidak menyeronokkan. Menurut Seaward pula (2006), dapatan kajian terbaru secara keseluruhannya menunjukkan bahawa 70 peratus hingga 80 peratus penyakit yang dialami oleh manusia kini adalah kesan daripada stres. Robins(2000) pula berpendapat stres atau tekanan boleh dilihat melalui pelbagai cara dan boleh dibahagikan kepada tiga jenis kategori iaitu fisiologi, psikologi dan gelagat. Pihak pengurusan mungkin tidak pedulikan stres tahap rendah dan sederhana kerana stres peringkat ini memberikan motivasi dalam diri untuk meningkatkan mutu kerja. Akan tetapi stres yang terlalu tinggi atau rendah dalam jangka masa yang panjang boleh melunturkan semangat untuk terus bekerja,seterusnya prestasi kerja akan menurun.

Seterusnya, kekuatan lain ialah  kajian yang dijalankan adalah berbentuk kuanitatif. Setiap perkara yang dibuat kajian atau responden yang dipilih dimasukkan ke dalam data. Contohnya, dinyatakan kajian yang telah dijalankan oleh Woo Sew Fun (2008) tentang faktor-faktor yang mendorong tekanan kerja (stres) dalam kalangan guru-guru SJK (Cina), melibatkan 50 orang responden di tiga buah sekolah di Wilayah Persekutuan dengan menggunakan soal selidik untuk mendapatkan data. Hasil daripada kajian mendapati tahap tekanan atau stres yang dialami oleh guru-guru dari ketiga-tiga buah sekolah yang dipilih berada pada tahap tekanan sederhana iaitu pada min skor 2.348. Oleh itu, dalam kajian ini menunjukkan bahawa faktor utama yang menyebabkan stres ialah faktor kekangan masa berbanding faktor lain.  Ini adalah disebabkan oleh golongan pendidik terikat dengan profesion mereka di samping dalam masa yang sama juga dibebani oleh tugas-tugas sampingan lain yang akhirnya menyebabkan stres kepada guru-guru.

Kekuatan lain ialah kajian ini menggunakan kaedah soal selidik sebagai instrumen kajian. Mohd Majid Konting (1998), menyatakan soal selidik sesuai digunakan untuk mendapatkan fakta, kepercayaan, perasaan dan kehendak. Selain itu, kaedah soal selidik lebih praktikal untuk populasi yang besar. Kajian korelasi mengkaji perkaitan antara pemboleh ubah yang wujud dalam sesuatu masalah. Kajian ini ingin melihat hubungan antara pemboleh ubah-pemboleh ubah seterusnya memberi peluang pengkaji untuk membuat ramalan skor dan menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah.

Dalam menentukan saiz sampel kajian ini, pengkaji telah merujuk kepada jadual penentuan saiz sampel yang telah disediakan oleh Krejcie dan Morgan (1970). Namun demikian, untuk meningkatkan tahap kenyakinan dan untuk mengurangkan ralat kepada hasil dapatan kajian, maka saiz sampel yang lebih besar digunakan. Dalam kajian ini, kaedah persampelan yang digunakan ialah persampelan rawak berstrata dan rawak mudah. Persampelan rawak berstrata membolehkan populasi kajian dibahagikan kepada sub-populasi yang tidak bertindih dari segi ciri-ciri demografi yang dikehendaki. Kemudian, pengkaji akan memilih responden dengn menggunkan persampelan rawak mudah dari setiap sub-populasi. Oleh itu rasionalnya pengkaji menggunakan kedua-dua teknik persampelan ini adalah untuk mendapatkan jumlah responden berdasarkan demografi jantina yang lebih seimbang agar dapat menganalisis perbandingan atau perbezaan dari segi jantina dengan lebih tepat.

Instrumen penyelidikan bagi tujuan kajian ini ialah menggunakan borang soal selidik. Ia bertujuan untuk mengumpul seberapa banyak data dan maklumat yang diperlukan. Borang soal selidik ini dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Bahagian A berkaitan dengan demografi, Bahagian B untuk mengukur gaya kepimpinan pengetua, Bahagian C untuk melihat stres dalam kalangan guru dan Bahagian D untuk mendapatkan maklumat tentang hasrat meninggalkan profesion perguruan. Data yang diperolehi melalui soal selidik telah dianalisis dengan menggunakaan perisian komputer Statistical Package for The Social Science (SPSS) versi 2.0 untuk mendapatkan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen kajian.

Kelemahan kandungan

Kajian yang dijalankan ini mempunyai limitasi tertentu. Dapatan kajian ini hanya boleh digeneralisasikan kepada semua sekolah menengah di daerah Pitas, Sabah khususnya dari aspek gaya kepimpinan pengetua dan faktor stres dalam kalangan guru-guru. Berasaskan kepada kajian ini, beberapa cadangan lain berkaitan hasrat meninggalkan profesion ini boleh dipertimbangkan bagi meluaskan lagi skop gaya kepimpinan pengetua dan stres guru atau faktor-faktor lain yang bersesuaian. Selain itu, kajian berkaitan tajuk ini hanya dijalankan di sekolah-sekolah menengah dalam daerah Pitas, Sabah. Oleh itu, kajian ini masih boleh dikembangkan dengan meluaskan sampel kajian sehingga ke peringkat negeri atau peringkat kebangsaan.

Kajian lanjut juga boleh ditumpukan kepada komponen-komponen lain yang terdapat dalam gaya kepimpinan pengetua dan faktor stres guru untuk melihat hubungan dengan hasrat meninggalkan profesion perguruan. Kemungkinan juga pengkaji boleh melihat dari sudut gaya kepimpinan yang lain seperti autokratik, transformasi dan sebagainya. Begitu juga dengan masalah stres. Mungkin terdapat lagi faktor-faktor stres lain yang difikirkan sesuai untuk dikaitkan dengan hasrat meninggalkan profesion perguruan seperti peluang kerja, sikap kendiri, hubungan dengan ibu bapa dan sebagainya.

Dapatan ini hanya melibatkan gaya kepimpinan pengetua dan stres guru. Namun dapatan kajian menunjukkan hubungan kedua-dua pemboleh ubah ini adalah hubungan positif yang lemah dengan hasrat meninggalkan profesion perguruan.Oleh itu, berkemungkinan terdapat lagi faktor-faktor lain yang lebih dominan dan dapat dikaitkan dengan kajian ini.

Kaedah kajian ini berupa deskriptif dan korelasi yang bertujuan untuk melihat hubungan gaya kepimpinan pengetua dan stres guru dengan hasrat meninggalkan profesion perguruan tanpa melihat sebarang intervensi. Oleh itu, dapatan kajian ini tidak melibatkan proses sebab dan akibat serta pengaruh. Manakala, instrumen yang digunakan untuk mendapatkan maklumat ialah melalui borang soal selidik sahaja. Oleh itu, dicadangkan untuk kajian pada masa akan datang, kaedah-kaedah lain seperti temu bual, pemerhatian, kajian kes dan sebagainya digunakan untuk mendapatkan hasil kajian yang lebih berkesan.

Refleksi

Tugasan pada kali ini melibatkan penulisan ilmiah iaitu saya harus membicarakan tentang kedudukan kerjaya seorang guru pada masa kini. Tugasan ini agak mencabar minda saya kerana saya perlu mengupas kerjaya saya sendiri tetapi dari sudut pandangan masyarakat kini. Pelbagai persoalan telah timbul dewasa ini lantaran tercetusnya pelbagai isu tentang tentang moral guru itu sendiri sehinggakan pada pandangan masyarakat bahawa kerjaya sebagai seorang guru bukanlah suatu kerjaya yang professional berbanding dengan kerjaya-kerjaya lain seperti doktor, peguam arkitek dan sebagainya. Situasi seperti ini boleh diibaratkan seperti kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Walau hanya segelintir guru yang membuat masalah, guru-guru yang lain turut terpalit.

Di Malaysia, guru atau pendidik merupakan penjawat awam yang terpenting dalam bidang pendidikan. Perkhidmatan seseorang guru amat penting bagi merealisasikan aspirasi Negara. Guru memiliki ciri-ciri istimewa sama ada terbina secara semula jadi atau dilatih. Saya merasakan bahawa cabaran abad ke dua puluh satu ini memerlukan saya dan rakan-rakan lain warga pendidik perlu melengkapkan diri dengan cabaran baru yang sedang dihadapi oleh murid-murid yang amat rencam dan kompleks.

Untuk menyiapkan tugasan ini, saya mengkaji tentang Pelan Pembangunan Pendidikan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Pelan ini sangat berguna dan bersifat menyeluruh untuk memberi kebaikan kepada golongan murid, ibu bapa dan guru. Setiap elemen yang terkandung di dalamnya mempunyai perkaitan dan saling melengkapi. Kita sebagai warga guru harus mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap isi kandungannya.

Bagi saya sebagai guru, kita perlu mempunyai niat dalam melaksanakan tugas kita. Walaupun mungkin kita tidak dianugerahkan dengan Anugerah Cemerlang yang diberikan setiap tahun, tetapi apa yang menjadi kepuasan dalam diri apabila anak murid kita dapat menguasai kemahiran yang sepatutnya mereka capai dari tahun ke tahun. Tugasan ini memberikan lebih motivasi dalam diri saya tentang keperluan saya untuk menjadi seorang pendidik. Kita sebagai guru  perlu menjadi cemerlang dalam diri kita. Kita perlu menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul sepanjang masa.

Selain itu, saya perlu mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kerjaya saya ini. Mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pengkhususan saya, komitmen yang menyeluruh serta penambahbaikkan ilmu serta kemahiran secara berterusan menjadi salah satu sebab untuk saya menyambung pengajian ini ke peringkat ijazah ini. Saya juga perlu lebih memiliki ketrampilan diri sebagai pendidik sempurna dengan memiliki pelbagai ilmu sama ada yang tradisional dan moden, kefahaman yang tinggi, jelas dan mantap tentang dasar dan aspirasi Negara.

Di samping itu, saya juga perlu mempunyai sahsiah diri yang tinggi dan beretika cemerlang. Apa yang paling penting sekarang ini, saya perlu bergerak pantas sepantas perkembangan zaman sains dan teknologi, zaman komputer, zaman teknologi maklumat, zaman langit terbuka dan sebagainya. Namun begitu, saya merasakan aspek asas yang terpenting ialah sebagai guru ialah saya perlu memiliki memahami, menghayati dan mengamalkan nilai, norma dan etika perkhidmatan yang cemerlang untuk menjamin organisasi sekolah dan Negara mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020.


Kalau bukan kita sebagai warga pendidik yang perlu meningkatkan mutu perkhidmatan kita untuk menjadikan kerjaya kita ini dipandang atau diangkat menjadi salah satu kerjaya yang professional siapa lagi. Tepuk dada tanya hati. Sekian.

No comments:

Post a Comment